Komunikasi kesihatan tidak sepatutnya dipolitikkan
20 May 2026 Malaysia

Komunikasi kesihatan tidak sepatutnya dipolitikkan

Bahasa Melayu tidak terancam oleh bahan bantuan pelbagai bahasa

Listen to article
Newsenz Official
Isu kad pemantauan pesakit berbahasa Cina yang tular baru-baru ini telah dibangkit oleh sebahagian pihak sebagai satu bentuk ancaman terhadap kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 

Namun, apabila dilihat dengan lebih teliti, perkara ini sebenarnya lebih kepada isu operasi di fasiliti kesihatan, bukan isu dasar bahasa negara.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjelaskan bahawa Bahasa Melayu kekal digunakan dalam kes berkenaan. Doktor yang bertugas memberikan penerangan secara lisan dalam Bahasa Melayu, manakala catatan klinikal juga direkodkan dalam Bahasa Melayu. 

Apa yang berlaku hanyalah kesilapan teknikal apabila kad pemantauan denggi berbahasa Cina tersalah diberikan kepada penjaga pesakit ketika waktu operasi yang sibuk.

Realitinya, penggunaan bahan kesihatan dalam pelbagai bahasa bukan sesuatu yang baharu di Malaysia. 

Dah bertahun-tahun, risalah kesihatan, poster, arahan ubat dan bahan kempen kesihatan awam disediakan dalam beberapa bahasa utama. 

Amalan ini wujud kerana sistem kesihatan perlu berfungsi dalam masyarakat yang berbilang bahasa, di mana tahap kefahaman bahasa dalam kalangan pesakit tidak sama.

Dalam konteks perubatan, kejelasan maklumat adalah perkara yang paling penting. Kakitangan kesihatan perlu memastikan pesakit dan penjaga benar-benar faham tentang gejala yang perlu dipantau, masa untuk kembali ke klinik atau hospital, serta tanda amaran yang memerlukan perhatian segera. Dalam situasi seperti ini, salah faham boleh memberi kesan kepada rawatan.

Penggunaan bahan tambahan dalam bahasa lain tidak menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedua-duanya berfungsi dalam ruang yang berbeza. 

Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan dan dokumentasi perubatan, manakala bahan pelbagai bahasa digunakan sebagai alat sokongan untuk memudahkan komunikasi dengan pesakit.

Soalan tentang bagaimana seseorang boleh tinggal lama di Malaysia tetapi masih tidak fasih berbahasa Melayu sering dibangkitkan dalam perbincangan seperti ini. 

Namun, dalam persekitaran kesihatan, isu tersebut tidak wajar dijadikan ukuran moral atau ujian terhadap identiti seseorang. Fokus utama dalam bidang perubatan ialah keselamatan pesakit dan keberkesanan penyampaian maklumat, bukan penilaian tahap penguasaan bahasa.

Banyak negara lain turut mengamalkan pendekatan yang sama dalam sistem kesihatan mereka. 

Sebagai contoh, di United Kingdom, perkhidmatan jurubahasa, dokumen perubatan yang diterjemah, papan tanda pelbagai bahasa dan sistem sokongan bahasa disediakan di hospital melalui National Health Service. 

Tujuan utama pendekatan ini ialah memastikan pesakit memahami maklumat rawatan dengan tepat, bukan menggantikan bahasa kebangsaan.

Pendekatan ini menunjukkan satu prinsip asas dalam perkhidmatan kesihatan moden, iaitu akses kepada maklumat kesihatan yang jelas adalah sebahagian daripada keselamatan pesakit. 

Penyesuaian bahasa dalam konteks perubatan bukan soal mengurangkan kedudukan bahasa rasmi, tetapi soal memastikan rawatan dapat disampaikan dengan berkesan.

Dalam konteks ini, adalah penting untuk melihat penggunaan bahan pelbagai bahasa di klinik dan hospital sebagai sebahagian daripada keperluan operasi, bukan sebagai isu simbolik yang mengancam identiti negara. 

Bahasa Melayu kekal utuh dalam peranannya, manakala bahan tambahan berfungsi untuk menyokong kefahaman pesakit dalam situasi sebenar di lapangan.

Perbincangan mengenai kedudukan Bahasa Melayu, identiti nasional dan semangat patriotisme sememangnya mempunyai ruang dan kepentingannya yang tersendiri. 

Namun, bukan semua perkara perlu diletakkan dalam kerangka perdebatan tersebut, terutama apabila ia melibatkan urusan klinikal harian yang memerlukan kelancaran komunikasi dan keutamaan kepada keselamatan pesakit.

Join the conversation

Comments

Login to join the conversation