Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, cara kita melihat rokok di kedai runcit sudah mula berubah dan mungkin ramai tak perasan betapa besar perubahan itu.
Dulu, rak rokok di kaunter bayaran adalah perkara biasa. Sama seperti gula-gula atau bateri, ia terbuka, jelas dan sentiasa dalam pandangan pelanggan. Hari ini, keadaan itu semakin jarang dilihat.
Salah satu insiden terbaru melibatkan sebuah pasar raya di Johor yang dikenakan denda RM20,000 kerana mempamerkan produk merokok secara tidak mematuhi peraturan kesihatan awam.
Kes ini sebenarnya membuka satu isu yang lebih besar iaitu bagaimana Malaysia sedang mengubah cara produk tembakau dan vape wujud dalam ruang awam.
Di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, pameran terbuka rokok tidak lagi dianggap sekadar susunan jualan biasa. Ia kini dikategorikan sebagai bentuk promosi tidak langsung.
Logiknya mudah, jika sesuatu produk terlalu mudah dilihat, ia juga lebih mudah menjadi normal dalam masyarakat.
Sebab itu kita mula nampak perubahan di banyak kedai seperti rak tertutup, kabinet khas dan kawasan jualan yang tidak lagi mempamerkan rokok secara terbuka. Lebih 51,000 premis di seluruh negara turut terkesan dengan peraturan ini.
Pada masa yang sama, vape menjadi satu lagi isu besar yang sedang bergerak dalam arah yang sama. Walaupun pernah dilihat sebagai alternatif yang kurang bahaya, realitinya penggunaan dalam kalangan remaja semakin meningkat dan ini mendorong kepada lebih banyak penguatkuasaan serta perbincangan dasar yang lebih ketat.
Kalau dilihat secara keseluruhan, Malaysia bukan sekadar mengawal penjualan rokok dan vape. Ia sedang mengubah cara kedua-dua produk ini dilihat atau lebih tepat, cara ia tidak lagi dilihat secara terbuka.
Dan disinilah menariknya isu ini.
Perubahan seperti ini bukan berlaku melalui perubahan dalam satu undang-undang sahaja. Ia berlaku perlahan-lahan, melalui penguatkuasaan, denda dan perubahan kecil di kedai-kedai yang kita selalu masuk tanpa sedar.
Namun persoalan yang lebih besar masih kekal.
Adakah mengurangkan keterlihatan rokok dan vape cukup untuk benar-benar mengurangkan penggunaannya?
Atau ini hanya langkah awal dan masih banyak lagi perubahan dasar yang akan datang selepas ini?