Tragedi menyayat hati di Johor Bahru baru-baru ini membabitkan seorang wanita berusia 22 tahun yang berhadapan tindakan undang-undang selepas didakwa mencampak bayi baru lahir dari tingkat 10 sebuah pangsapuri sekali lagi memaksa masyarakat berhadapan dengan satu persoalan yang gagal diselesaikan sekian lama.
Mengapa kes pembuangan bayi terus membelenggu negara?
Ini adalah naratif hitam yang sudah terlalu kerap menghiasi dada akhbar.
Lokasinya mungkin bertukar dan pelakunya berbeza, namun pengakhiran yang tragis tetap sama.
Sepanjang dekad lalu, negara merekodkan purata sekitar 100 kes pembuangan bayi setahun.
Ini bermakna, hampir 1,000 bayi ditinggalkan di dalam tong sampah, longkang, sungai atau kawasan belukar dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Malangnya, statistik turut menunjukkan lebih separuh daripada bayi ini ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
Lazimnya, setiap kali kes baharu terbongkar, reaksi masyarakat adalah seragam. Marah, mengecam dan menuntut hukuman paling berat ke atas pesalah.
Kemarahan sedemikian adalah sesuatu yang berasas. Elemen tanggungjawab peribadi tidak boleh dikesampingkan dan sistem perundangan negara sememangnya berfungsi untuk mengadili jenayah tersebut.
Bagaimanapun, apabila corak tragedi ini terus berulang pada skala yang besar dan konsisten, tindakan meletakkan kesalahan mutlak ke atas bahu individu semata-mata tidak lagi boleh dijadikan strategi penyelesaian.
Kita perlu melihat melangkaui kesalahan pelaku dan mula berani mengkaji kelemahan sistemik yang menyuburkan krisis ini.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada kelangsungan isu ini adalah jurang maklumat yang parah.
Wujud satu tanggapan umum yang silap bahawa dalam era limpahan teknologi maklumat hari ini, setiap individu mempunyai kefahaman yang jelas mengenai perancangan keluarga, risiko kehamilan dan saluran undang-undang sedia ada sekiranya berhadapan dengan kehamilan luar nikah.
Realitinya, pelaksanaan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial di negara ini masih berada pada tahap yang sangat terhad serta sering dianggap tabu.
Akibatnya, golongan muda yang buntu terpaksa mengemudi situasi kritikal ini berpandukan maklumat yang tidak sahih, cebisan tip di media sosial atau nasihat rakan sebaya yang sama-sama cetek pengetahuan.
Walaupun kekurangan ilmu ini tidak memandu seseorang secara automatik untuk melakukan jenayah, ia meningkatkan risiko golongan rentan ini terperangkap dalam situasi luar kawalan.
Faktor kekosongan maklumat ini kemudiannya diburukkan lagi oleh impak stigma sosial yang sangat mendalam.
Kehamilan yang tidak dirancang sememangnya satu tamparan hebat, namun ketakutan terhadap penghakiman masyarakat sekeliling sering kali menjadi lebih besar dan menggerunkan daripada proses kehamilan itu sendiri.
Ketakutan disisihkan oleh keluarga, dihina oleh komuniti dan ditolak oleh masyarakat sekeliling akhirnya melumpuhkan pertimbangan rasional.
Tekanan psikologi yang ekstrem ini memaksa wanita terbabit menyembunyikan kehamilan mereka dengan apa cara sekalipun.
Apabila fasa kehamilan itu disimpan sebagai rahsia mutlak, ruang untuk mendapatkan bantuan perubatan, perlindungan, mahupun kaunseling profesional akan tertutup rapat.
Akhirnya, pilihan yang ada di dalam minda mereka mula mengecil sehinggalah saat kelahiran tiba.
Keterasingan ini sekali gus mendedahkan satu lagi kelompongan besar dalam sistem sokongan masyarakat, iaitu kelangkaan kesedaran yang proaktif mengenai alternatif perlindungan yang wujud.
Perlu ditegaskan bahawa menjaga sendiri bayi tersebut bukanlah satu-satunya jalan keluar selepas kelahiran.
Negara kita mempunyai sistem pengangkatan anak angkat yang sah, peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta sokongan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Lebih khusus, negara juga mempunyai kemudahan peti pelindung bayi (baby hatch) yang direka sebagai pelan kecemasan bagi menyelamatkan nyawa bayi tanpa mendedahkan identiti ibu.
Entiti seperti Yayasan OrphanCare, dengan kerjasama strategik bersama rangkaian hospital swasta seperti KPJ Healthcare, telah lama menyediakan kemudahan ini di seluruh negara.
Setakat ini, OrphanCare mengendalikan pusat pelindung bayi utama di Petaling Jaya (Selangor), Johor Bahru (Johor) dan Sungai Petani (Kedah), manakala KPJ menyediakannya di beberapa hospital pakar mereka secara nasional.
Persoalannya, sejauh manakah kewujudan kemudahan ini diketahui oleh golongan sasar?
Di sinilah letaknya kelemahan kita. Kempen kesedaran awam mengenai pusat bantuan krisis sebegini seolah-olah bermusim dan selalunya hanya hangat dibincangkan selepas sesuatu tragedi maut dilaporkan oleh media.
Selain itu, taburan geografi pusat pelindung bayi ini sebahagian besarnya masih tertumpu di kawasan bandar utama, sekali gus menyukarkan akses fizikal bagi wanita yang terdesak di kawasan pinggir bandar atau luar bandar.
Kesimpulannya, meletakkan tanda palang kesalahan kepada aspek kemoralan pelaku adalah jalan paling mudah kerana tindakan itu secara tidak langsung membebaskan masyarakat daripada rasa bersalah.
Namun, hakikat yang perlu ditelan ialah siri pembuangan bayi ini adalah manifestasi kepada kegagalan kolektif, kegagalan sistem pendidikan, kelemahan komunikasi kesihatan awam dan kelonggaran sistem sokongan sosial.
Mengkritik kelemahan sistem ini tidak bermakna kita cuba mengurangkan beratnya jenayah yang dilakukan atau mengecilkan nilai nyawa yang telah hilang. Seorang anak telah terkorban, dan itu adalah satu tragedi yang amat dikesali.
Namun, jika matlamat utama kita adalah pencegahan menyeluruh dan bukannya sekadar hukuman reaktif, maka tindakan punitif pasca-kejadian tidak akan mampu menyelesaikan akar masalah.
Persoalan pokoknya, mengapa hampir seratus keluarga terdorong ke arah tindakan sekejam ini setiap tahun sedangkan saluran alternatif yang selamat dan sah sudah pun disediakan?
Selagi kita enggan merobohkan tembok stigma, merapatkan jurang pendidikan dan meluaskan akses bantuan, kita akan terus terperangkap dalam kitaran harian yang sama iaitu menanti masa untuk melaporkan satu lagi kematian yang sepatutnya boleh dicegah.